Tunggu Kubur : Relevankah?

Kurang pasti saya adakah amalan ini masih subur atau tidak pada hari ini. Namun di sesetengah tempat, saya mendapati ia masih diamalkan dengan begitu meluas. Khususnya di Kelantan, beberapa lokasi boleh dianggap sebagai lokasi yang ‘makruf’ dengan amalan ini. Saya ajukan persoalan kepada beberapa orang individu yang begitu kuat mempertahankan amalan menunggu kubur, jawapannya mudah, agar si mati tidak kesunyian apabila berada di alam yang baru. Benarkah demikian?

Hakikatnya, kubur adalah merupakan salah satu bayangan persinggahan kepada tempat yang kekal abadi di akhirat. Penghuni-penghuni kubur pastinya akan melalui pengalaman samada diazab atau sebaliknya. Ia merupakan perkara yang thabit di dalam hadis-hadis Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda, “Sesungguhnya kubur itu adalah persinggahan pertama daripada persinggahan-persinggahan akhirat, sesiapa yang terselamat daripadanya, maka yang datang selepasnya lebih mudah daripada itu. Barangsiapa yang tidak terselamat dari azabnya, maka yang datang selepasnya lebih dahsyat daripada itu.” (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah, al-Bani menyatakan ia sebagai hadis hasan)

Persoalannya, adakah dengan menunggu kubur dengan duduk di atasnya berhari-hari dapat memberikan syafaat kepada penghuni kubur agar terlepas dari azab? Jika demikian, perlulah didatangkan sebarang bukti yang menyokong kenyataan tersebut. Jika tujuan untuk menunggu kubur ialah dengan membaca al-Quran dan berdoa, apakah ia tidak akan tercapai melainkan di atas kubur semata-mata?

Perlu diingatkan bahawa di dalam menanggapi sesuatu sebagai ibadat, perlulah mempunyai dalil daripada al-Quran ataupun sunnah Nabi Muhammad SAW. Matlamat daripada ziarah kubur tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mengingatkan si penziarah kepada akhirat sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, “Sesungguhnya aku telah melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahilah ia sekarang kerana ia mengingatkan kamu kepada akhirat,”

Jelas sekali tujuan daripada amalan ziarah kubur ialah semata-mata untuk memperingatkan manusia kepada kematian yang menjelang bila-bila masa sahaja. Tetapi adakah ia terlaksana dengan duduk di atas kubur sepanjang malam sebagaimana yang difahami oleh sebahagian individu masyarakat? Kalau benar demikian, nescaya Rasulullah SAW dan para sahabat ialah golongan yang pertama melakukannya dengan kesungguhan untuk mendapatkan pahala berlipat ganda daripada Allah SWT. Namun, terbukti ia tidak pernah diriwayatkan oleh mana-mana nas yang boleh diterima.

Dari sudut lain, pernah juga beberapa orang individu memaklumkan bahawa tujuan daripada amalan ini ialah untuk menghalang niat jahat segolongan tertentu yang ingin mencuri kain kafan. Jika demikianlah tujuannya, ia adalah sesuatu yang wajar. Namun demikian, menunggu kubur bukanlah jawapan yang mutlak terhadap isu ini. Masyarakat perlu dididik dari masa ke semasa supaya tidak muncul individu yang sanggup bertindak kejam sampai ke tahap ini. Mencuri kain kafan ialah perbuatan golongan yang sudah terlampau terdesak, kezaliman yang berlaku bukan lagi kepada manusia yang hidup malah kepada manusia yang sudah mati. Menunggu kubur dalam isu ini mungkin salah satu mekanisma tetapi bukanlah satu penyelesaian yang terbaik!

PAS, DAP dan KeADILan setuju tubuhkan Pakatan Rakyat (PR)

KUALA LUMPUR, 1 April (Hrkh) – Pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti KeADILan, DAP dan PAS bersetuju menubuhkan Pakatan Rakyat, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan pagi ini, kata Anwar Ibrahim.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Anwar itu turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah serta delegasi masing-masing.

Mesyuarat hari ini mencadangkan untuk memantapkan kerjasama di atas nama Pakatan Rakyat dan nama ini akan disahkan setelah ketiga-tiga parti mendapat persetujuan jawatankuasa pusat masing-masing dalam masa yang terdekat.

“Pakatan Rakyat berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Dengan keputusan ini, bermakna kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor nanti akan dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat,” jelas Anwar.

Beliau berkata, dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar yang akan ditentukan dalam gagasan Pakatan Rakyat.

Beliau menambah, ketiga-tiga parti akan bermesyuarat di peringkat jawatankuasa masing-masing bagi mengemukakan cadangan kepada sekretariat bersama Pakatan Rakyat yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, bagi memantapkan pemahaman semua dasar yang akan dibentangkan wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) ketiga-tiga parti akan mengadakan satu konvensyen pada 27 April 2008, di sebuah lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.