Memaknai Hijrah Dalam Kehidupan

Satu perkara yang mustahil bagi sebuah masyarakat yang terdidik dengan amalan-amalan tradisi Islam begitu lama tidak mengenal makna sebenar hijrah. Bahkan, menyambut kehadiran Muharram hanyalah satu rutin tahunan yang akhirnya berlalu tanpa apa-apa makna. Ditambah dengan lumrah masyarakat awam yang bersandarkan kepada kejahilan tentang agama, jadilah agama hanya sebagai adat dan rutin bukan lagi sebagai satu amalan hidup.

Ini bukan satu perkara yang baru. Bahkan Ibnu Jauzi (meninggal pada 597H) menerusi kitabnya yang masyhur Talbis Iblis (Kekeliruan Yang Dilemparkan Iblis) telah memberikan amaran akan munculnya golongan awam yang mengamalkan agama dengan cara yang salah dan di dalam masa yang sama, mereka terus sesat dari hidayah yang sebenar. (Abdul Rahman bin Ali bin Muhammad al-Jauzi (2001) Talbis Iblis, Dar Fikr, Lubnan, halaman 343).

Kita melihat senario ini sebagai satu fenomena yang membimbangkan. Apakah erti sambutan hijrah dalam konteks masyarakat kita pada hari ini sedangkan tiada langsung peningkatan dari sudut penghayatan agama? Apakah hasilnya dari perarakan besar-besaran sempena Maal Hijrah dan melantik tokoh-tokoh Maal Hijrah dari pelbagai latar belakang sedangkan usaha untuk meningkatkan kefahaman Islam bukan sahaja tidak berlaku malah seolah-olah dilihat semakin mundur ke belakang? Pada hari ini apabila sudah 50 tahun kita merdeka dari cengkaman penjajah, sudahkah Maal Hijrah yang disambut saban tahun berjaya memartabatkan kita selaku bangsa yang berdaulat dan merdeka?

Indeks jenayah yang meningkat, kes-kes moral samada melibatkan orang besar atau orang kecil, rasuah, salah guna kuasa dan segala macam bentuk kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat memberikan satu signal bahawa hijrah sebenarnya bukan merupakan semangat yang dihayati tetapi hanyalah satu rutin sempena Muharram. Perlulah kita diingatkan terhadap maksud sabda Nabi Muhammad SAW : ”Adakah kamu sudi aku khabarkan kepada kamu siapakah dia mukmin? Merekalah yang dipercayai oleh manusia ke atas harta dan diri mereka. Orang Islam itu ialah yang terselamat orang lain dari bencana lidah dan tangannya, orang yang berjihad ialah yang bermujahadah melawan nafsunya untuk mentaati Allah, dan orang yang berhijrah ialah yang berhijrah meninggalkan kesalahan dan dosa..” (Hadis riwayat Ahmad, disahihkan oleh al-Albani di dalam kitabnya al-Silsilah al-Sahihah)

Oleh yang demikian, ramuan terhadap penyakit yang menimpa masyarakat perlulah disegerakan. Antara lain, hendaklah setiap individu muslim meyakini bahawa dirinya sentiasa di bawah pengawasan Allah SWT. Perasaan ini tidak akan dapat dibajai melainkan dengan asuhan aqidah yang sebenar. Sesungguhnya jarang sekali kita mendengar atau membaca ajakan-ajakan ke arah pemantapan aqidah samada melalui dada-dada akhbar utama, media-media eletronik malah tidak juga dari lidah orang-orang yang berpengaruh di dalam masyarakat. Bukankah pembinaan aqidah didahulukan oleh Nabi Muhammad SAW sebelum membina negara Islam selepas hijrah? 13 tahun bukan masa yang sekejap untuk tujuan itu. Sungguh berbaloi usaha murni itu kerana yang lahir ialah satu generasi contoh. Kita yakin, dengan kemantapan akidah, manusia muslim tidak memerlukan sebarang cctv untuk mencegahnya melakukan kemaksiatan. Bukankah seruan Islam itu sendiri bermula dengan akidah? Lihatlah pesanan Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal tatkala menghantarnya ke Yaman : ”Wahai Muaz, kamu mendatangai satu kaum ahli kitab, maka serulah mereka kepada penyaksian bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah dan aku sebagai Rasulullah. Sekiranya mereka mentaati kamu atas perkara itu, khabarkanlah kepada mereka bahawa Allah SWT telah memfardhukan ke atas mereka solat sebanyak lima waktu sehari semalam, sekiranya mereka mentaati kamu, khabarkanlah kepada mereka bahawa Allah memfardhukan zakat yang diambil dari harta orang-orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada golongan yang miskin di kalangan mereka, sekiranya mereka mentaati kamu, maka awaslah terhadap hak-hak mereka serta takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tiada hijab antaranya dengan Allah…” (Diriwayatkan oleh Muslim, Nasa’i dan Ahmad)

Lantas, sambutan hijrah perlu disemarakkan dengan seruan kembali kepada aqidah yang murni. Kempen besar-besaran ke arah tujuan sepatutnya bukan lagi di peringkat seminar, tetapi sudah menjadi agenda bertindak yang perlu disegerakan.

Selain dari agenda aqidah, masyarakat juga perlu menuju kepada perubahan hidup agar tidak lagi bergelumang dengan dosa dan maksiat. Kita yakin, sebab utama yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak dan juga peningkatan kes-kes sosial ialah hilangnya kesedaran tentang bahaya dosa. Oleh yang demikian, bukan satu perkara yang pelik, di dalam majlis-majlis agama sekalipun sehingga kepada majlis sambutan maal hijrah, masih kelihatan pendedahan aurat seolah-olah aurat yang dibuka tiada kaitan dengan agama yang disambut perayaannya. Elemen dosa dan pahala yang hilang dari kehidupan muslim moden merencatkan proses pembesaran anak-anak yang mewakili generasi baru daripada membesar dengan asuhan Islam yang sebenar. Dosa dan pahala pada hakikatnya mendatangkan kesan kepada seseorang khususnya dalam permasalahan hubungannya dengan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : ”Sesungguhnya seorang hamba apabila melakukan kesalahan dilakar di atas hatinya dengan titik hitam, maka apabila dia bertaubat dan memohon ampun, titik ini akan dihapuskan. Sekiranya tidak dan dia kembali melakukannya, titik itu akan memenuhi hatinya….” (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad. Tirmizi mengatakan hadis ini sahih)

Elemen dosa dan pahala bukan sekadar perlu diterapkan pada awal tahun hijri sahaja, malah setiap hari dan ketika. Di dalam pendidikan awal, peringkat sekolah rendah dan menengah, pengajian tinggi malah di alam pekerjaan sekalipun, sebutan dosa dan pahala biar menjadi satu ratib wajib di kalangan masyarakat Islam. Adakah seorang penjawat awam sebagai contoh, akan menerima rasuah, kalau di dalam dirinya ditanam daripada kecil tentang dosa dan pahala? Sudah tentu tidak. Adakah seorang pelajar akan mencuaikan amanah ibubapanya supaya datang ke sekolah untuk belajar sekiranya hatinya disemat dengan kepentingan menjaga amanah sedari kecil? Bahkan adakah berlakunya kepincangan di dalam pengurusan negara sekalipun sekiranya para pemimpin terdiri daripada individu yang beriman dengan dosa dan pahala?

Saya kira di sini titik tolaknya hijrah yang mahu dibina. Andainya elemen pembinaan akidah dan keimanan kepada kewujudan dosa dan pahala dikesampingkan dalam melahirkan modal insan, sambutan Maal Hijrah pastinya hanya akan tinggal sambutan semata-mata… dan jumpa lagi kita di tahun hadapan.

13 Januari 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: