Janji Syurga : Standard SPR di Malaysia

Apabila Pengerusi SPR mengeluarkan kenyataan bahawa mana-mana parti yang menjanjikan ‘syurga’ semasa kempen pilihanraya berlangsung (rujuk Berita Harian, 2 Mac 2004), secara spontan tidak ada parti lain yang lebih sesuai ditujukan amaran ini kecuali PAS. Bukannya kerana PAS menjanjikan ‘syurga’ secara langsung, tetapi hanya PAS sahaja parti yang dilihat setakat ini beraliran politik Islam yang tentunya tidak akan terlepas dari membicarakan soal pahala dan dosa serta secara tidak langsung mempunyai perkaitan rapat dengan ‘syurga’.

‘Syurga’ ialah satu manifestasi daripada dosa atau pahala. Mengenepikan soal ‘syurga’ bererti memisahkan salah satu juzuk daripada perbuatan manusia daripada dosa atau pahala. Di dalam Islam, setiap perbuatan tentunya tidak lari daripada lima hukum utama ; wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Tidak ada perbuatan yang boleh dikecualikan daripada lima hukum ini. Inilah perkara yang telah disepakati oleh para ulama, dan telahpun dipelajari oleh anak-anak kecil sejak sekolah rendah lagi. Kita berharap agar pengerusi SPR khususnya sempat mempelajari kaedah mudah ini. Bermula dari kita mencelikkan mata di waktu pagi hinggalah ke saat kita melelapkan mata di waktu malamnya, semua perbuatan yang dilakukan dikira oleh Allah SWT dan perbuatan-perbuatan inilah yang akan dikira di dalam menentukan tempat kita kelak samada ‘syurga’ atau ‘neraka’. Makan, minum, ibadat, komunikasi, aktiviti sosial, rutin kehidupan dan semuanya mempunyai perkaitan dengan pahala dan dosa. Hanya yang terlepas dari dosa dan pahala ialah perbuatan yang hukumnya harus. Bagaimanapun, tidak mungkin perbuatan mengundi yang memilih pimpinan bagi meneraju negara dan menentukan hala tuju ummah hanya berhukum harus serta tidak mempunyai kaitan dengan dosa dan pahala?

Mengkategorikan perbincangan tentang ‘syurga’ semasa kempen sebagai perbuatan menghasut dan berunsur penipun ialah satu perbuatan yang melampau yang tidak sewajranya dikeluarkan oleh seorang yang mengaku Islam. Dalam masa yang sama, ia menutup pemikiran masyarakat daripada berfikir mengikut kaedah yang diajar oleh Islam. Atau adakah Pengerusi SPR mahu menjadi orang yang pertama melanggar arahan Datuk Seri Najib, “`Kalau mahu berjubah, pakailah jubah, mahu berserban, pakailah serban, mahu berjanggut, berjanggutlah, tetapi jangan disempitkan kefahaman Islam,” (Utusan Malaysia, 27 Februari 2004).

Sebenarnya arus pemikiran yang cuba ditonjolkan ini ialah salah satu daripada benih-benih aliran berfikir secara sekular yang ditanam sejak berpuluh tahun dahulu. Kini, setelah hampir setengah abad kita ditinggalkan penjajah, benih-benih tersebut terus bercambah dan menguasai aliran perdana arus pemikiran masyarakat. Lupakah sebenarnya kita dengan firman Allah SWT yang bermaksud :

“..Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!..” –Surah Az-Zalzalah, ayat 7-8

Apakah terdapat maksud lain daripada ayat ini selain daripada setiap perbuatan walau sebesar zarah sekalipun akan dikira di hadapan Allah SWT? Atau orang seperti Astora mempunyai tafsiran yang berlainan? Manakala al-Quran pula telah menetapkan bahawa sebarang amanah hendaklah diberikan kepada ahlinya yang benar-benar amanah. Firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“..Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil..” (Surah An-Nisa’, ayat 58)

Lantas, seandainya memberikan amanah ini telah diperintahkan oleh Allah agar diberikan kepada ahlinya yang berhak, maka adakah melaksanakan suruhan ini tidak mendapat pahala? Sebaliknya, jika mencuaikan arahan ini, tentulah dosa sebagai balasannya. Bahkan setiap orang yang mematuhi pemimpin yang melanggar perintah Allah SWT akan menghuni neraka sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran :

Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. – Surah Al-Ahzab, ayat 66-67

Mungkin apa yang ingin disampaikan oleh Pengerusi SPR ialah kempen yang mengaitkan dosa, pahala, syurga dan neraka sewajarnya tidak diamalkan kerana dibimbangi ia menjadi ugutan secara tidak langsung kepada masyarakat. Ini dapat disimpulkan daripada kata-kata beliau : “Janji ‘syurga’ lebih kepada ugutan kerana pengundi tidak mempunyai pilihan kerana jika mereka memilih parti sebaliknya, sudah tentu mereka masuk ‘neraka’,” katanya. (Berita Harian, 2 Mac 2004)

Seandainya analogi ‘ugutan’ yang menjadi asas, apakah pandangan SPR dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa berucap di Sabah pada 28 Februari 2003 : “Kita perlu bagi tahu kepada rakyat negeri Sabah ini bahawa hanya janji BN sahaja yang boleh ditunaikan,” (Utusan Malaysia, 29 Februari 2003).

Menanam mitos bahawa hanya BN yang boleh membawa pembangunan tidakkah juga membawa ugutan kepada pengundi? Secara tidak langsung pengundi terpaksa memilih BN kerana dengan memilih parti sebaliknya, mereka akan mundur. Mitos karut inilah yang sebenarnya menjadi tiang seri BN sejak zaman berzaman. Dengan menutup semua peluang pembangkang untuk bersuara, ternyata mitos sebegini amat berkesan. Sayangnya, SPR nampaknya seakan-akan bisu bila berdepan dengan keadaaan ini.

Seandainya SPR benar-benar ikhlas tidak mahu isu ‘syurga’ diperalatkan, maka bertindak tegaslah terhadap media massa yang menutup mata dan telinga rakyat dari mendengar sumber alternatif. Penggunaan jentera kerajaan di dalam kempen BN juga sepatutnya merupakan agenda utama SPR. Sayangnya, inilah standard SPR di dalam sebuah negara demokrasi bernama Malaysia.

Ahmad Fadhli bin Shaari,

Kuliyyah Dakwah Islamiah,

Universiti Al-Azhar,

Kaherah, Mesir.

3 Mac 2004.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: