Saddam : Pengajaran Kepada Manusia Bernama ‘Pemerintah’

          Daripada seorang pemimpin yang hidup dikelilingi kemewahan dan kekuasaan, akhirnya terperosok jauh ke ‘lubang tikus’ lalu ditangkap dengan penuh kehinaan. Siapa sangka seorang diktator kejam yang boleh menjatuhkan hukuman bunuh kepada sesiapa sahaja terpaksa menyembah kaki Amerika Syarikat di penghujung hidupnya untuk memohon belas ihsan penyambung hayat. Bagaimanapun itulah resam hidup dunia, tiada yang kekal selamanya di atas dan tiada yang selamanya berada di bawah.

Itulah Saddam Hussein, anak kelahiran Tikrit dari keluarga petani dan dibesarkan oleh bapa saudaranya yang merupakan seorang bekas pegawai tentera. Pada tahun 1957 ketika umurnya baru 20 tahun, dia menyertai Parti Baath. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1959, dia menyertai satu misi untuk membunuh Perdana Menteri Iraq pada masa itu. Namun, dia ditembak di kaki lalu ditahan seterusnya dijatuhkan hukuman mati. Bagaimanapun, Saddam berjaya melarikan diri ke Syria dan seterusnya ke Mesir.

Pada tahun 1962, Saddam memasuki College Of  Law di Kaherah dan seterusnya pulang ke Mesir setahun kemudian di zaman pemerintahan Parti Baath. Dia seterusnya menyambung pengajian di Baghdad Law College dan berkahwin dengan Sajida Khairallah dan memperolehi lima orang anak. Pergolakan hidup Saddam tidak terhenti setakat itu apabila dia ditahan sekali lagi kerana terlibat dengan komplot untuk menjatuhkan Presiden Abdul Salam Arif pada tahun 1964. Bagaimanapun sekali lagi juga dia berjaya melarikan diri dari penjara selepas dua tahun merengkok di dalam tahanan. Pendakian Saddam ke puncak kekuasaan diteruskan dengan keterlibatannya bersama komplot rampasan kuasa untuk menggulingkan Presiden Abdul Rahman Auf. Pada tahun 1969, Saddam dilantik sebagai Naib Pengerusi Majlis Pemerintah Revolusi Iraq dan tidak menunggu lama untuk melakukan tindakan yang berani ; mengarah supaya dimiliknegarakan industri minyak di Iraq. Melalui tekanan dan strategi halus Saddam juga, dia berjaya mendaki hingga ke puncak pada tahun 1979 apabila menjawat jawatan Presiden Republik Iraq, Perdana Menteri dan sekaligu sebagai Pengerusi Majlis Pemerintah Revolusi ; tiga jawatan yang menjadikannya sebagai seorang yang paling berkuasa di bumi Iraq.

Pada tahun 1980, dengan restu rakan baiknya pada masa itu, Amerika Syarikat, Saddam mengarahkan bala tenteranya mencerobohi Iran dan menyerang simpanan minyak hingga mengakibatkan peperangan selama 8 tahun yang memakan korban berjuta-juta nyawa dari kedua-dua belah pihak. Sejurus selepas gencatan senjata dipersetujui pada tahun 1988, Saddam mengarahkan serangan senjata kimia kepada rakyatnya sendiri . Ia termasuklah kempen pembunuhan Anfal terhadap puak Kurdish di mana 100,000 orang awam terbunuh; penggunaan senjata kimia terhadap tentera Iran dan Kurdish; pembunuhan beramai-ramai penduduk Syiah dan Kurdish; serta penyingkiran secara paksa etnik minoriti di utara Iraq. Kekejaman Saddam ini menjadikan dirinya sebagai ‘pemimpin Arab yang paling hauskan darah.’

Persahabatan Saddam dengan Amerika Syarikat tidak bertahan lama apabila Iraq menyerang Kuwait pada tahun 1990. Amerika Syarikat yang selama ini menjadi sekutu Iraq tiba-tiba mengetuai operasi deserta storm untuk menghalau tentera Iraq dari bumi Kuwait. Tentera Iraq dipaksa berundur dari Kuwait pada Februari. Suruhanjaya Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diarah memulakan pemeriksaan pertama ke atas senjata berbahaya besar-besaran Iraq.

Bermula dari tahun 1990, Iraq ditekan dan dikenakan sekatan ekonomi biarpun Saddam masih terus bermewah di istananya malah masih sempat mengarahkan pembunuhan dua orang menantunya pada tahun 1996 di atas alasan disyaki membelot. Ia berakhir pada Mei 2003 apabila kerajaan Saddam tumbang selepas kedaulatannya dicabul oleh Amerika Syarikat dan Britain. Dan selepas hampir lapan bulan Saddam diburu, dia akhirnya ditangkap di lubang sempit dalam rumah persembunyiannya yang tidak begitu jauh dari bandar Tikrit, di seberang Sungai Tigris di mana terletaknya salah sebuah istananya. Saddam kini dalam keadaan yang berjambang dan berambut panjang tidak terurus seperti gaya kutu rayau berbeza sekali dengan gayanya ketika berkuasa di istananya, lengkap dengan serba-serbi kemudahan mewah dan dikelilingi beratus-ratus pengawal.

          Begitulah nasib Saddam, seorang pemimpin diktator yang pernah berada di puncak kekuasaannya dan berkuasa ke atas apa saja urusan di Iraq. Sekalipun dikelilingi oleh limpahan harta yang begitu banyak, namun ia belum tentu menjamin kesetiaan para pengikutnya terhadap dirinya. Bagaimana mungkin seorang diktator boleh mengharapkan kesetiaan dan ketaatan mutlak daripada orang lain sedangkan dirinya sendiri tidak taat dan setia kepada Allah Yang Maha Kuasa. Malah, inilah bukti yang paling utuh bahawa kesetiaan pengikut andainya dibina di atas dasar kepentingan pangkat dan harta, ia pasti tidak akan bertahan lama. Apabila tiba masanya, kesetiaan ini akan goyah dan luntur. Begitulah Saddam yang tertangkap disebabkan pengkhianatan salah seorang pengawalnya yang peling dipercayai.

          Pemimpin-pemimpin diktator seluruh dunia seharusnya merenungi nasib masing-masing. Kekuasaan dan kesempatan yang diberikan oleh rakyat untuk berada di singgahsana pemerintahan bukanlah peluang untuk mencari sebanyak mungkin kepentingan peribadi dan melakukan penganiyaan terhadap orang lain. Sebesar-besar kuasa yang ada pada makhluk, hebat lagi kuasa Allah Yang Maha Esa. Sejarah menyaksikan bagaimana Namrud yang berjaya memerintah dunia akhirnya tewas hanya kerana seekor serangga yang memasuki kepalanya. Begitu juga Firaun yang gah mendabik dirinya sebagai tuhan, akhirnya tenggelam di laut dalam dan terpaksa mengakui kebenaran Nabi Musa hanya apabila mendapati dirinya sudah tidak mampu untuk menyelamatkan diri. Soalnya, bagaimana dengan pemimpin-pemimpin yang pernah menzalimi orang lain ; memisahkan suami daripada isterinya tanpa bicara, melakukan kezaliman dan penindasan kepada tahanan-tahanan politik, malah merampas hak rakyat secara yang haram? Adakah mereka merasakan dirinya akan terselamat daripada putaran alam yang menjanjikan turun naik putaran roda dalam kehidupan manusia? Lebih jauh dari itu, sekalipun mereka dianugerahi dengan gelaran yang hebat-hebat selepas bersara ataupun dipuji dengan pujian tinggi melangit,  bagaimana mereka mahu mengadap Allah dengan dosa terhadap manusia berhimpun di kaki masing-masing. Atau adakah mereka tidak beriman kepada hari akhirat?

          Saddam hanyalah satu contoh seorang manusia yang pernah berada di puncak kekuasaan lalu di penghujung hidupnya dihina dan di’tikus’kan. Namun, adakah tidak mungkin pemimpin-pemimpin lain yang sibuk membilang harta dan bersandar enak di kerusi malas, sedangkan orang yang dizalimi terus menerus berada di jerjak besi tanpa pengadilan yang sebenar, mereka tidak mungkin menjadi ‘tikus’ seperti Saddam?? Percayalah, hari-hari ini digilirkan oleh Allah SWT. Hari ini seorang Saddam tersungkur dengan penuh kehinaan, esok berpuluh-puluh lagi ‘Saddam’ akan mengalami nasib yang sama… Tunggulah.

 

Ahmad Fadhli bin Shaari,

24 Disember 2003

Kaherah, Mesir

 

One Response

  1. Kenapa kita perlu bercerita tentang Saddam, kenapa kita perlu jadikan beliau sebagai teladan diatas kekejamannya. Kalau dihitung dengan jari pembunuhan yang dilakukan oleh Saddam masih lagi boleh dikira, tetapi pembunuhan yang dilakukan dengan jelas oleh Bush yang disaksikan oleh setiap mata diseluruh dunia ini tidak terhitung oleh kita. Kenapa umat islam malu-malu untuk bercerita manusia kejam seperti Bush, manusia pemusnah untuk setiap negara Islam di bumi ini. Kematian umat Islam setiap hari angkara cita-cita Bush, tiada pula yang hendak mempertikaikannya. Lebih-lebih lagi kini Bush mengaku bahawa tiada senjata berbahaya di Iraq dan menyatakan bahawa maklumat tentang senjata berbahaya yang beliau terima adalah tidak benar. Bush boleh berkata semudah itu, selepas membunuh berpuluh-puluh ribu rakyat Islam Iraq dan memusnahkan sebuah negara Islam. Namun tiada rasa marah khususnya dari umat Islam dengan kenyataan tersebut. Apa pun cerita pasal sejarah Saddam, Iraq tidak seteruk hari ini semasa era pemerintahan beliau. Pada saya Bush adalah senjata pemusnah Islam sebenar yang masih hidup.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: