Membina Ummah Yang Merdeka

“Di atas runtuhan kota Melaka, kita bina bangsa yang merdeka…” Slogan patriotik yang bergema dalam setiap sudut ruang negara apabila menyambut hari kemerdekaan negara adalah satu gamitan untuk mengenang kembali notalgia perjuangan generasi terdahulu dalam membebaskan nagara daripada belenggu penjajahan. Laungan untuk memerdekakan negara adalah satu manifestasi dari fitrah manusia yang tidak ingin berada di bawah kongkongan orang lain. Tidak sedikit darah yang tumpah dan peluh yang menitik semata-mata untuk menyaksikan bendera negara yang berdaulat berkibar dengan megah.

Setelah mengorbankan begitu banyak tenaga dan nyawa, maka segala impian untuk melihat perginya penjajah dari bumi tanah Melayu khususnya akhirnya berjaya terlaksana. Anak watan akhirnya mewarisi khazanah tanah ibunda mereka. Laungan merdeka bergema dengan penuh harapan untuk melihat agar jiwa-jiwa yang lahir selepas ini ialah jiwa yang bebas dan mampu menentukan hala tuju yang tersendiri.

Bagaimanapun, pemergian penjajah tidak menjamin kepada keutuhan survival anak watan. Di mana-mana sahaja di seluruh dunia, sifat penjajah sentiasa diwarisi oleh anak watan.  Pengunduran kuasa imperialis yang menyaksikan kaum asing menguasai hasil bumi tanah jajahan akhirnya digantikan ‘imperialis’ tempatan yang menjadikan kekayaan negara sebagai harta peribadi berlegar kepada kaum kerabat yang kulitnya adalah sama warna dengan penduduk tempatan. Kebebasan media dan penyebaran maklumat ditapis dan disekat di atas alasan keselamatan menyebabkan minda rakyat terjajah dengan penjajahan bentuk baru. Kadang kala kita melihat sifat penjajah yang diwarisi oleh anak tempatan lebih hebat dari yang dimiliki oleh guru-guru mereka di Barat. Ya, barat tidak mungkin layak menjadi guru contoh bagi kita namun dalam sesetengan perkara, mereka nyata lebih demokratik daripada negara yang mendakwa sebagai bebas merdeka. Lihat sahaja Perdana Menteri Britain, Tony Blair yang disoal habis-habisan ekoran kegagalan pasukan pemeriksa senjata menemui sebarang senjata pemusnah di Iraq di mana inilah yang menjadi alasan uatama Britain bersekongkol dengan Amerika Syarikat memusanahkan kedaulatan Iraq. Tetapi di negara-negara bekas jajahan, kuasa pemerintah dianggap sebagai kuasa suci yang tidak mungkin ditegur di khalayak apatah lagi dipertikaikan melalui medium yang terbuka. Bagaimanapun sebagaimana kata sesetengah orang, inilah demokrasi cara kita.

Sehingga hari ini, kita melihat minda terjajah masih menjadi dominan di dalam pemikiran anak-anak muda sekarang. Tidak sayukah hati kita apabila melihat anak-anak muda berpeluk dan bercium dalam satu rancangan hiburan yang disiarkan secara terus menerus oleh sebuah stesen televisyen swasta tempatan baru-baru ini? Inikah sikap golongan yang merdeka? Lebih jauh lagi, sebuah stesen televisyen swasta yang lain pula menyiarkan dalam edisi siasatnya adegan peluk cium dan sumbang keterlaluan yang dilakukan oleh anak-anak muda yang sesetengahnya bertdung litup!! Tidak malukah kita melaungkan laungan merdeka namun hakikatnya jiwa generasi yang akan mewarisi pusaka kepimpinan ummah terlalu terjajah. Bolehkah generasi ini menyintai negara lantas mempertahankan dengan darah sebagaimana yang ditunjukkan oleh generasi yang terdahulu? Bolehkah generasi ini berkorban untuk mati mempertahankan kedaulatan negara atau hanya rela ‘mati di jalan yang lurus’ akibat bahana lumba haram?

Dalam kita asyik melaungkan merdeka juga, lupakah kita kepada persoalan rasuah yang menjadi akar umbi kepada permasalahan sosial dalam masyarakat kita? Ya, kita boleh mengibarkan Jalur Gemilang di kereta-kereta dan di bangunan-bangunan sebanyak mana yang boleh, kita boleh melaungkan merdeka sekuat mana yang kita mampu, namun kecintaan kepada negara bukan hanya dibuktikan melalui retorik sahaja. Pengamal rasuah walau bagaimana hebatnya semangat patriotik adalah tidak lebih daripada pembohong yang hanya menunggu peluang untuk mengkayakan diri sendiri. Pengamal rasuah tidak lebih askar gurkha di zaman kedatangan penjajah Portugis di Melaka tahun 1511 yang hanya bekerja untuk makan gaji namun apabila kedaulatan Melaka terancam, mereka lari bertempiaran menyelamatkan nyawa masing-masing. Pengamal rasuah walau siapa pun orangnya adalah pengkhianat kepada negara. Soalnya, para pengkhianat inilah yang masih lagi berselerakan dalam perkhidmatan negara. Bermula dari bilis-bilis yang berada di sektor perkhidmatan awam hinggalah kepada jerung-jerung yang duduk enak di kerusi empuk, adalah penyakit yang harus dibuang dari masyarakat. Kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin negara baru-baru ini untuk memerangi rasuah habis-habisan hanya akan tinggal mimpi andainya rasuah tidak diperangi di segenap peringkat. Ia bermula dari atas hinggalah ke bawah.

Terbaru kita digegarkan pula dengan kes buli dan samseng yang menular di sekolah-sekolah menengah berasrama penuh. Sebenarnya inilah hasil daripada budaya hedonisme yang berakar umbi di dalam masyarakat kita. Kegagalan ibubapa untuk mendidik anak-anak sebaik mungkin menjadikan anak-anak sebagai hero di sekolah masing-masing lantas melepaskan geram kepada pelajar-pelajar junior. Perkara ini telah berlaku sekian lama, namun sejak akhir-akhir ia meletus dengan begitu hebat. Sehinggalah seoarang pelajar mangsa buli kehilangan salah satu buah pinggangnya, barulah difikirkan cara bagaimana mengatasi budaya samseng ini. Adakah memang kita orang Melayu diperanakkan semula jadi dengan sifat ‘sudah terhantuk baru tengadah?” Generasi samseng ini seandainya membesar dalam keadaan demikian pasti sekali akan menjadi masalah kepada negara. Bagaimanpun, budaya buli dan samseng seperti ini bukan hanya hanya diamalkan di sekolah-sekolah malah oleh generasi yang lebih dewasa dan berpengaruh, cuma ia hadir di dalam bentuk yang berlainan.

Walau apapun, itulah generasi kita. Ya, kita bebas melaungkan merdeka, namun merdekakah kita?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: