PERJUANGAN : HIDUP MULIA ATAU MATI SYAHID

Muqaddimah

Pertentangan di antara kebenaran dan kebatilan sebenarnya adalah satu sunnah di dalam kehidupan manusia. Setiap saat dan masa pasti menaksikan wujudnya penentang-penentang kebenaran, sebagaimana setiap saat menyaksikan kewujudan gerakan atau firqah yang benar-benar itqan dengan usaha menegakkan kalimah Allah SWT. Sejarah membariskan pertentangan para ambiya’ musuh-musuh masing-masing pada situasi dan zaman yang berbeza, namun tujuan dan matlamatna tetap sama ; para ambiya’ dengan perjuangan mengajak manusia ke syurga dan para penentang kebatilan dengan perjuangan menjerumuskan pengikut ke neraka. Perbezaan pemikiran dan kehendak ini mewujudkan pertentangan. Asas pertentangan tidak banyak berbeza antara satu sama lain. Hakikat wujudnya persamaan di antara dalam setiap perjuangan ini sekalipun berbeza zaman dan masa dinyatakan secara tidak langsung di dalam Al-Quran dalam beberap tempat. Antaranya ialah ayat 36 surah An-Nahl dan ayat 112 surah Al-An’am. Apabila pertentangan seperti ini berlaku, maka tidak dapat tidak wujudnya satu bentuk perjuangan untuk melaksanakan agenda masing-masing. Dan sebagai tenaga kepada cita-cita Islam, perjuangan yang akan kita bicarakan ialah perjuangan Islam iaitu perjuangan melaksanakan kebenaran di muka bumi ini dan memakmurkan bumi dengan hukum-hukum Allah.  Ia disebut sebagai jihad. Dan jihad bukannya bererti keganasan.

Contoh-contoh perjuangan yang dinukilkan di dalam Al-Quran

Sebagaimana yang diakini oleh setiap yang bernama pejuang, pastinya rintangan dan halangan akan menjadi fitrah semulajadi di dalam perjuangan. Ada yang berjaya menempuhi rintangan dan mendapat kejayaan di muka bumi, namun kebanyakannya menempuhi syahid ataupun beroleh kegagalan namun pastinya ganjaran yang menunggu di hadapan Allah tidak terkira. Tidak kurang juga para pejuang yang akhirnya mati dalam keadaan perjuangan tidak berjaya namun perjuangan mereka terbukti diterima manusia selepas kematian mereka. Antara contoh perjuangan di dalam Al-Quran yang bagi saya sepatutnya dipelajari dan dihadam oleh para pejuang mutakhir ialah :

1. Perjuangan Nabi Nuh as            : Kisah seorang nabi yang berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun namun yang menyahut seruannya hanyalah beberapa orang sahaja. Kemuncak ujian yang diterima ialah baginda ditolak oleh anak dan isterinya sendiri. – Surah Nuh.

2.  Perjuangan Nabi Musa as            : Seorang nabi yang cuba membebaskan kaumnya daripada kekangan perhambaan akibat penindasan Firaun dan kuncu-kuncunya. Pada peringkat permulaan, dakwah Nabi Musa ialah menyeru Firaun supaya mengakui ketuhaan Allah dan kebatilan dakwaan dirinya sebagai tuhan. Sekalipun Firaun menolak, Nabi Musa tetap diselamatkan oleh Allah apabila Firaun tenggelam di dalam lautan. Namun peringkat kedua dakwah Nabi Musa lebih mencabar apabila berdepan dengan kaumnya yang begitu degil akibat kongkongan perhambaan yang bgeitu lama. Nabi Musa akhirnya wafat dalam keadaan baginda dan kaumnya sesat di sebuah padang selama 40 tahun. Allah mentakdirkan kegemilangan Bani Israil ialah di tangan generasi yang lahir sesudahnya. Kisah Nabi Musa disebut oleh banyak tempat di dalam Al-Quran.

3. Kisah Ashabul Ukhdud            : Al-Quran menyebut kisah ini secara tidak langsung di dalam Surah Al-Buruj bermula ayat yang ke-4. Namun ia diterangkan secara terperinci di dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Kisah seorang budak  diberikan ‘biasiswa’ oleh raja yang zalim untuk mempelajari ilmu sihir namun dia dalam masa yang sama turut mempelajari ilmu tauhid dan aqidah ang sahih. Kemudiannya, dia meningkat dewasa sebagai penentang kepada raja yang zalim. Sekalipun akhirnya dia mati di tangan raja tersebut, perjuangannya diterima oleg rakyat jelata yang seterusnya beriman kepada Allah SWT. Di sinilah berlakunya perstiwa parit berapi.

Sekadar menyebut beberapa contoh daripada puluhan malah ratusan contoh di dalam Al-Quran sudah cukup untuk menyedarkan kita bahawa lumrah perjuangan sejak zaman berzaman membuktikan bahawa tidak semestinya setiap perjuangan berakhir dengan kejayaan, malah kebanyakan darinya terpaksa mengharungi seribu satu dugaan dan rintangan dan ada kalanya berakhir dengan kematian. Namun, ganjaran yang sebenar tentunya menanti di sisi Allah SWT.

Siapakah golongan pejuang yang sebenar?

Berbicara soal perjuangan, tidak ada manusia yang boleh mendakwa dirinya sebagai sempurna. Sejarah mengajar kita bahawa ada kalanya mereka yang hebat berbicara soal perjuangan akhirnya lebih dahulu berpaling menikam jemaah. Ada yang lidahnya terlalu petah berkata-kata soal istiqomah dan sabar, namun akhirnya akibta sedikit kepentingan yang tidak ditunaikan, dia mengambil langkah menjilat semula ludahnya sendiri. Dalam soal ini, kita mahu berada di mana? Sesungguhnya masa depan sama sekali tidak dapat diramalkan, hanya doa dan tawakkal yang menjulang tinggi menjadi bekal untuk berhadapan dengan Allah SWT nanti. Dalam pada itu, terdapat beberapa ciri yang seharusnya ada pada seorang atau sekumpulan pejuang yang benar-benar mukhlis di dalam melaksanakan tanggungjawab. Antaranya sebagaimana yang disebut di dalam surah Al-Maidah, ayat 54 :

1.                  Menyintai dan dicintai Allah SWT.

2.                  Bersikap lemah lembut dan penyayang kepada kaum muslimin.

3.                  Bersikap tegas gagah dengan orang-orang kafir yang menjadi musuh perjuangan.

4.                  Bersungguh-sungguh berjihad di jalan Allah.

5.                  Tidak pernah gentar dengan segala caci maki orang lain.

Penutup

Coretan ini sebenarnya terlalu ringkas untuk membicarakan soal perjuangan secara ilmiah dan berfakta, namun ia sudah cukup untuk memberikan gambaran umum rupa bentuk perjuangan yang seharusnya didokongi oleh setiap yang bergelar srikandi atau mujahid. Semoga sinar kebangkitan Islam terus menerangi alam semesta, biarlah nadi berhenti berdenyut, nafas berhenti berhembus dan darah berhenti mengalir, namun perjuangan tetap diteruskan.

Al-Faqiru Ilallah,

Ahmad Fadhli bin Shaari.

3 Ogos 2003.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: