22 SEPTEMBER 2002… SUDAH EMPAT TAHUN, DIA TERPENJARA

18 JULAI… SATU CATATAN, SATU ANALISIS DAN SATU PENILAIAN

(oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari, 19 Julai 2002)

22 September 2002 – Empat tahun yang lalu di tarikh ini, negara digemparkan dengan penangkapan dia, seorang yang sepatutnya hari ini sudah berada di kerusi orang yang paling berkuasa di bumi Malaysia.

Tengah malam, di hadapan anak-anaknya yang masih kecil, di sebelah isterinya yang menjadi teman setianya dalam perjuangan dan di tengah-tengah ribuan penyokongnya yang hanya menanti isyarat untuk ‘melakukan apa saja’, dia diheret oleh berpuluh-puluh anggota keselamatan ; persis untuk menangkap ketua pengganas yang paling dikehendaki. Masih terbayang di ruang mata kita, tingkap yang dipecahkan untuk memasuki rumah sedangkan pintu yang disediakan tidak dipedulikan. Samada itu lambang kebodohan, ‘samseng’ atau arahan dari mana-mana ‘barua’, sehingga kini masih menjadi soalan yang tidak terjawab.

Itulah Anwar Ibrahim, insan ideal yang membesar dengan kehebatan karismanya, dewasa dengan sifat kepimpinannya lalu memilih menyertai bahtera UMNO dan BN, kini terpenjara di ruang sempit dan hanya mampu bertemankan kesepian di malam sunyi. Makanan yang dulunya tentulah bertaraf lima bintang sesuai dengan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri kini pastinya menikmati hidangan ala kadar yang kadang kalanya hanya sesuai untuk bukan yang bernama manusia.

Bayangkanlah, sudah empat tahun beliau ditahan tanpa sebarang kesalahan yang dapat dibuktikan secara jelas. Tuduhan liwat yang sering dipinda-pinda dan rasuah yang tidak melibatkan sesen pun harta rakyat (berbeza dengan PPRT yang HANYA berjumlah lebih RM30 juta),  mampu menyumbatkannya ke dalam ruang sempit di Sungai Buluh. Segalanya bagaikan satu drama yang mementaskan satu plot cerita yang sukar dipercayai namun di’munasabahkan’ kerana kehendak pengarah. Siapa yang mahu percaya akan wujudnya perang angkasa lepas kalau tidak hanya di dalam filem seumpama Star Wars?!

Namun, pentas politik negara sebenarnya tidak pernah aman selepas peristiwa tersebut. Berbeza sekali dengan tekaan Mahathir bahawa orang Melayu akan melupakan Anwar Ibrahim selepas 100 hari. Perdana Menteriku, orang Melayu tidak mudah lupa! Yang mudah lupa, hanyalah haprak dan kuncu-kuncunya!

Terlalu zahir kedangkalan sebenarnya orang yang menyatakan bahawa fakor Anwar Ibrahim tidak lagi relevan di dalam permainan politik negara masa kini. Insan itu yang terpenjara sebenarnya memiliki pengaruh yang begitu luas. Rasanya, berbeza sekali dengan  ‘bakal’ Perdana Menteri sekarang jika diteropong dari sudut karismanya. Entahlah jika kekurangan itulah yang menjadi kelebihan di mata Mahathir.

Pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim sebenarnya merubah sama sekali senario politik negara. Sekalipun mungkin ia bersifat kebetulan dengan semangat kebangkitan anak-anak muda dan arus teknologi maklumat, namun setidak-tidaknya peristiwa inilah yang merupakan faktor terbesar mendorong ke arah itu. Selepas peristiwa tersebut, berlaku kesedaran besar-besaran di kalangan anak-anak muda khususnya. Mereka yang sebelum ini hanya melihat politik sebagai ‘makhluk asing’ mula merasakan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk menentukan hala tuju bumi tempat mereka berpijak.Demontrasi demi demontrasi yang diadakan dari masa ke semasa di ibu kota hampir setiap minggu sebenarnya mempunai implikasi yang besar terhadap masa depan politik negara. Masih terlalu ramai yang tidak menyertai sebarang demontrasi dan tidak pernah berdepan dengan semburan air pancut FRU namun dalam masa yang sama menaruh rasa tidak senang yang menggunung terhadap kezaliman yang berlaku.

Pilihanraya 1999 adalah satu contoh yang paling baik untuk menyatakan bahawa kedudukan kerajaan Mahathir sudah berada di ambang bahaya ekoran penindasan terhadap insan itu yang kini terpenjara. Ada kebenaran sebenarnya di sebalik kata-kata Anwar sendiri, “Walaupun jasad saya terpenjara, namun jiwa saya tetap merdeka.!” Dan kata-katanya dibuktikan dengan simpati dan tangisan ribuan pendokong-pendokong reformasi. Apa yang pasti, tangisan itu tentulah lebih real jika dibandingkan dengan tangisan Mahathir sendiri di PWTC pada 22 Jun yang lalu. Statistik menunjukkan lebih 60% pengundi Melayu menolak UMNO dan BN dalam pilihanraya umum 1999. Di manakah lagi status UMNO sebagai parti Melayu yang menjadi tonggak kerajaan kalau ia sendiri sudah ditolak oleh orang Melayu?! UMNO sendiri tentu mendapati bahawa sokongan kepadana semakin menipis, maka bukan setakat Anwar yang dipenjarakan, ‘anak-anak murid’ setianya juga turut menjadi pemangsa paling ganas di abad ini ; ISA! Lihat saja Ezam, Tian Chua, Badrul Amin, Lokman, Saari Sungib dan Hisham, setelah lebih satu tahun mereka dipenjarakan, manakah bom-bom tangan dan pelancar roket yang disebut-sebut dahulu?! Malangnya, bagi binatang pemangsa, nyawa dan kebebasan mangsa mereka adalah satu perkara asing untuk difikirkan!

Dan kini, setelah 4 tahun Anwar terpenjara, sudahkah dia dilupakan?  Apa saja jawapannya, paling tidak Anwar sudah memberikan satu momentum besar terhadap politik negara. Penolakan pengundi Melayu terhadap UMNO dan BN tentu sekali masih belum berubah. Anak Bukit dan Pendang ialah contoh yang terbaik. Kemenangan ‘olok-olok’ di Pendang sama sekali tidak mengembirakan Mahathir dan kuncu-kuncunya. Kemenangan yang diraikan sebenarnya tidak pernah menggembirakan mereka kerana masing-masing mereka mengetahui bahawa kemenangan tersebut hanyalah drama yang palsu. Samalah seperti kisah klasik seorang raja yang tidak memakai sebarang pakaian namun berlagak seolah-olah sedang memakai pakaian yang paling cantik, maka seluruh pembesar-pembesarnya ‘dipaksa’ untuk mengakui bahawa ‘pakaian’ raja tersebut adalah cantik. Mengangguk-angguk bodohlah seluruh pembesar negara mengakui kecantikan ‘pakaian’ si raja.  Kalaulah tidak kerana seorang budak yang lurus, tentunya si raja akan terus terleka dengan pujian-pujian palsu, namun wujudkah ‘budak itu’ di dalam UMNO?!

Penolakan pengundi Melayu terhadap UMNO dilihat akan berterusan. Apatah lagi selepas generasi ‘gigit mee tak putus’ (meminjam istilah Mohamad Sabu) pupus, maka UMNO dan BN dilihat tidak akan mempunyai sebarang peluang untuk terus menguasai bumi Malaysia. Kerana itu, janganlah bernazar yang bukan-bukan terhadap kekalahan UMNO pada pilihanraya yang berikutnya kerana takut nanti anda akan terpaksa melaksanakan nazar tersebut!

Lihat sahaja krisis dalaman yang terus menerus berlaku. Notis perletakan paling panjang di dunia iaitu selama 16 bulan menambahkan derita Pak Lah. Ditambah lagi dengan kenyataan Mahathir yang mahukan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri nanti, Pak Lah berada dalam keadaan yang cukup tidak selesa. Sebab itu, saya rasa tidak keterlaluan seorang pemerhati politik yang berpendapat, walaupun jasad Anwar yang terpenjara, namun jiwa Pak Lah yang sengsara! Maka apa yang nak dihairankan kalau budak-budak puteri pun sudah pandai berbalah. Ke mana tumpahnya kuah kalaulah tidak ke nasi!

Untuk Anwar, sekalung doa agar beliau terus tabah dengan ujian. UMNO dan BN hanya menunggu masa untuk ditalkinkan. Dan lumrah menyatakan, semakin hampir kita dengan kejayaan, semakin hebatlah ujian yang akan mendatang!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: