Putera-puteri Harapan.. Kawallah Dirimu Bila Berbicara

Maruah seseorang adalah bergantung kepada dirinya sendiri. Dengan penuh sedar, saya ingin menegaskan bahawa saya bukanlah manusia terbaik untuk dijadikan contoh dalam hal ini, apatah lagi untuk mengatakan bahawa saya tidak terjebak dengan sebarang kesilapan ketika berbicara. Namun, bila baru masanya akan datang manusia yang serba sempurna yang dinobatkan layak berbicara tentang adab?

Berbicara di sini saya fokuskan kepada adab berbicara antara ikhwah dan akhawat. Allah SWT menegaskan adab bericara khususnya bagi golongan muslimat apabila berkomunikasi dengan lelaki yang bukan mahram :

“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)..” (Al-Ahzab : 32)

Ibnu Kathir Rahimahullah di dalam Tasir Quranul ‘Azim semasa menafsirkan ayat di atas menyebut bahawa printah tersebut tidaklah hanya terbatas kepada isteri-isteri nabi bahkan kepada semua anita-wanita muslimah. Apa yang dimaksudkan dengan  lembut manja itu ialah sengaja melembutkan suara apabila bercakap dengan lelaki yang bukan mahram. Termasuk juga di dalam perintah ini ialah para lelaki semasa berbicara dengan wanita-anita yang bukan mahram. Manakala Al-Qurtuby pula berpendapat percakapan yang dimaksudkan ialah percakapan yang hanya meliputi perkara-perkara yang perlu sahaja dengan suara yang tidak sengaja dilembut-lembutkan.

Berdasarkan kepada ayat ini, kita sepatutnya boleh melakukan satu muhasabah yang terbaik. Sudah sering kali kita laungkan untuk membina atau sekurang-kurangnya mengekalkan apa yang kita namakan sebagai ‘biah solehah’ di bumi KIAS ini, namun semakin hari rasanya impian itu semakin terhakis apabila melihat adab berbicara dan berkomunikasi antara ikhwah dan akhawat yang semakin tidak terjaga. Kenapa ini harus berlaku di bumi yang kita suburkan di atasnya cita-cita murni untuk melahirkan generasi pejuang?

Realiti kita hari ini menyatakan kepada kita bahawa semakin ramai yang berani ‘memperkosa’ suasana murni yang ingin kita wujudkan. Maaf seandainya perkataan kurang elok terpaksa digunakan namun itulah hakikatnya. Di hati ini, hanya tuhan yang tahu (maaf Unic, senikatamu kupinjam tanpa kebenaran) pedihnya hati ini bila melihat siswa dan siswi berbicara antara satu sama lain dengan jarak yang mampu diukur oleh pembaris 30 cm, diselangi dengan hilai tawa dan suara lemak manja persis susasana di sekolah menengah. Mana lagi maruah sebagai pelajar agama?

Di sinilah kita perlu seketika bermuhasabah. Tentunya kita faham dengan siapa bicara kita akan menyebabkan fitnah. Kalau bagi siswa contohnya, dalam keadaan biasa, tentulah komunikasi dengan orang yang berpangkat ‘kakak’ agak selamat dari risiko fitnah berbanding dengan seorang yang berpangkat sebaya atau lebih muda. Begitu juga dengan siswi, dalam keadaan yang biasa, bicara dengan seorang berpangkat ‘adik’ biasanya lebih terhindar dari risiko fitnah berbanding dengan yang berpangkat ‘abang’. Kita lebih faham bagaimana menjaga diri kita sendiri. Namun sayang, ramai lagi yang berpura-pura tidak faham dalam soal ini.

Saya ingin bertanya kepada siswa yang terlalu enak berbicara dengan siswi  bersama lagak yang kurang menyenangkan itu, tidak malukah anda meruntuhkan kredibiliti anda sebagai bakal pemimpin? Tidak malukah anda memperlihatkan kepada orang lain betapa besarnya keruntuhan moral yang ada di dalam jiwa anda? Tidak malukah anda menzahirkan betapa anda tidak layak untuk digelar sebagai bakal ulama? Bakal ulamakkah anda yang sudah tunduk dengan kelunakan suara seorang wanita?!!

Kepada siswi, tentu sekali kita ingin bertanya, tidak aibkah anda mendedahkan kelunakan suara yang begitu lemak manja yang pastinya hanya layak untuk seseorang di malam yang pertama? Realitinya, ramai di kalangan anda yang memakai jubah luaran namun tidak ‘menjubahkan’ hati dan peribadi. Tahukah anda, ramai lelaki yang runtuh hatinya semata-mata kerana kelunakan suaramu? Tidak sedarkah anda, dengan melunakkan suara selembut yang mungkin bila berbicara, anda sebenarnya sudah merosakkan ‘dara’ suaramu..? Masih tidak tahukah anda bahawa walau senakal manapun seorang lelaki beriman yang normal,  dia tetap akan mencari isteri solehah yang terbaik menjadi suri hidupnya..? Namun, solehahkah ketawa terkekek-kekek di tengah khalayak ketika berbicara dengan lelaki bukan mahram? Anda bangga dengan perbuatan itu? Terpulang!

Kita tidak mahu siswa-siswi menjaga adab pergaulan hanya semata-mata malu kepada mata-mata yang memandang. Apa yang kita mahukan ialah generasi pemuda-pemudi yang hanya takutkan Allah. Kita tidak suka munculnya generai yang penuh dengan sikap kepura-puraan, tunduk menikus hanya kerana malu menghadapi kata-kata orang lain, namun di celah-celah yang tersembunyi, kita benarkan diri kita merobohkan pagar iman! Tanyalah diri sendiri, layakkah aku digelar pejuang?! Dalam kelemahan diri yang begitu banyak, kita lantas melabelkan diri kita sebagai pendokong kebangkitan Islam, tidak malukah kita?!! Kita akan mendapat jawapannya seandainya kita ikhlas dalam memberikan jawapan.

Sudah ramai di luar sana yang rebah kerana tidak mampu bertahan dengan ujian di zaman remaja. Lalu, masihkah ingin kita memilih untuk turut menjadi mereka? Sepatutnya kita sudah cukup untuk menangis dengan kemunculan generasi remaja yang sudah lupakan tuhanNya, lalu kita bangkit sebagai generasi qudwah yang akan mengungguli contoh yang terbaik. Sayang, dalam keadaan kampus kita seperti hari ini, secara ikhlas ingin saya nyatakan, kita mungkin hanya akan mengulangi sejarah kegagalan generasi yang terdahulu.

Di peringkat umur sebegini, tentulah kita tidak mahu siswa-siswi KIAS perlu ‘dimarahi’ terlebih dahulu untuk melazimkan mereka dengan adab pergaulan. Lebih berkesan seandainya masing-masing menyedari tanggungjawab dan batasan pergaulan khususnya golongan yang sepatunya menjadi contoh (tentunya pimpinan dan senior). Mungkin ramai yang menganggap ia sebagai isu yang remeh temeh di tengah-tengah cabaran globalisasi menuntut kita berfikiran terbuka, namun bagi saya, ia tetap isu yang besar di dalam menjana pertumbuhan generasi qudwah.

Sekali lagi, sebelum mengakhiri tulisan ini, penulis rencana ini bukanlah seorang contoh yang terbaik, malah mungkin kadang-kadang turut rebah di tengah-tengah kehebatan prinsip dan idealisme. Namun, kalau tidak sekarang kita menegur, bila lagi? Dan kalau tidak kita, siapa lagi?!!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: