18 JULAI… SATU CATATAN, SATU ANALISIS DAN SATU PENILAIAN

Firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.” (Ali-Imran : 140)

Analisis Pilihanraya Umum 1999 dan Pilihanraya Kecil 2002 P.011 Pendang

PAS

BN

Majoriti

Peratus Mengundi

1999

22, 413

19,474

2,939 (PAS)

79,73%

2002

22,542

22,825

283 (BN)

86.07%

Analisis Pilihanraya Umum 1999 dan Pilihanraya Kecil 2002 N. 15 Anak Bukit

PAS

BN

Majoriti

Peratus Mengundi

1999

8, 480

6, 640

1, 840 (PAS)

77.89%

2002

8, 298

7, 790

508 (PAS)

83.61%

Satu Catatan…

18 Julai 2002.. tiada yang lebih mendapat perhatian negara selain daripada pilihanraya kecil yang diadakan di Kedah ekoran kematian Almarhum Dato’ Fadzil Nor pada 23 Jun yang lalu. (Malah, jika dibandingkan dengan jamuan pulut durian di KIAS yang jatuh pada hari yang sama pun, tidak dapat mengalahkan debaran menanti keputusan pilihanraya).  Belum pun sempat sebulan jasadnya disemadikan dengan disaksikan beratus-ratus ribu rakyat jelata, kini penduduk di muka bumi sudahpun berhempas pulas merebut ‘pusaka’ yang ditinggalkan. Apakan daya… itulah lumrah dunia.

Saya berada di Nilam Puri ketika pilihanraya tersebut berlangsung di Kedah. Jika diikutkan hati, mahu rasanya turut ‘terbang’ ke sana melihat dan berkongsi pengalaman pahit dan manis dengan mereka yang sudah sedia berada di sana sejak 2 minggu, namun tugas dan tanggungjawab di sini tidak mampu untuk ditinggalkan. Ditambah pula dengan pelbagai soalan yang diajukan oleh pelbagai pihak yang siap sedia meneropong sejak dari awal lagi, bagaikan singa yang hanya menanti kesilapan langkah sang kacil. Setapak si kancil silap melangkah, nyawanya pasti melayang.

Namun, dari sini perkembangan dapat diikuti dengan jelas satu persatu. Setakat pukul 6.00 petang, kedua-dua medan pertempuran masih lagi dimenangi oleh PAS, namun setelah pengiraan dibuat, keadaan yang sebaliknya mula berlaku. Ramai di kalangan pemerhati politik berpendapat PAS akan kekal menawan Pendang, manakala BN akan berjaya merampas Anak Bukit berdasarkan kepentingan Anak Bukit sebagai satu peluang untuk mendapat majoriti 2/3 di dalam Dewan Undangan Negeri Kedah. Malah, kesungguhan ini dapat dilihat apabila jeneral-jeneral berpangkat di dalam BN (Pak Lah, Najib, Muhammad Mohd Taib, Muhyidin dan lain-lain) semuanya berada di Anak Bukit sewaktu pengumuman keputusan dibuat, menunjukkan tingginya harapan mereka untuk menawan Anak Bukit. Malah, membaca analisis di dalam Harakahdaily.net sendiri pun seolah-olah menjangka bahawa Anak Bukit akan jatuh ke tangan BN dengan majoriti yang tipis. Namun ramalan tersebut ternyata tersasar.

Apabila keputusan di Anak Bukit diumumkan, ramai yang membuat perkiraan keputusan 2-0 akan dicatatkan. Keputusan yang sama dengan perlawanan Brazil-Jerman itu dijangka berasaskan kepada jangkaan Pendang sebagai ‘safe area’. Sebagaimana biasa, penuhlah inbox sms dengan ucapan syukur di atas keputusan 2-0, namun perancangan Allah melebihi segala-galaNya.

Satu Analisis…

Jika dibuat analisis secara jujur, kita akan dapat melihat bahawa undi yang diperolehi oleh PAS sama sekali tidak mengalamai kemerosotan kecuali sedikit di Anak Bukit. Di Pendang, Allahyarham Fadzil Noor memperolehi jumlah undi sebanyak 22, 413 pada tahun 1999 manakala Dr. Mohd Hayati Othman pula meraih jumlah undi sebanyak 22, 542. Ternyata PAS mencatat peningkatan dari segi jumlah undi. Di sini menunjukkan undi yang diperolehi oleh PAS tidak lari. Cuma apa yang memberikan kelebihan kepada BN ialah apabila jumlah peratusan keluar mengundi mencatat angka yang begitu tinggi iaitu sebanyak 83.61% ; satu angka yang cukup tinggi bagi sebuah pilihanraya. Namun, itu adalah perkara yang tidak mustahil boleh dilakukan di dalam sebuah pilihanraya kecil. Bukankah banyak bas-bas yang tiba sehari sebelum pengundian? Secara logiknya, untuk apa bas ini kalau tidak untuk pengundi *****?

Begitu juga dengan persoalan majoriti. Rekod pilihanraya kecil di Malaysia ini sebenarnya sering lari jauh dari pilihanraya umum. Lihatlah di pilihanraya kecil Pulai Chondong pada 1997, YB Zulkifli Mamat dari PAS menewaskan BN dengan majoriti hanya 118 undi. Namun pada tahun 1999, majoriti  mendadak meningkat lebih dari 3,000 undi! Kenapa? Anda jawablah sendiri. Kerana itu, apabila melihat statistik pilihanraya kecil ini, adalah satu kemungkinan yang besar bahawa hayat kerusi ahli parlimen Pendan yang baru ini tidak akan lama!

Perlu diingatkan, pertembungan di dalam pilihanraya kecil di Kedah bukannya antara sebuah parti dengan sebuah parti, tetapi pertembungan sebuah parti dengan sebuah kerajaan yang memiliki segenap kekuatan. Malah kali ini nampaknya, perang habis-habisan dilancarkan di dalam media massa yang dikuasai oleh kerajaan. Bermula dari akhbar, radio dan tidak ketinggalan semua saluran televisyen menayangkan saban hari episod-episod yang begitu memualkan. Teringat saya kata-kata YB Nasaruddin Daud, “kalaulah televisyen tu harganya murah, saya akan musnahkan sebuah televisyen setiap hari..” Kedengarannya agak tidak rasional, namun secara simboliknya itulah taraf media massa yang bernama televisyen. Ini ditambah lagi semasa malam pengumuman yang dibuat  secara langsung oleh sebuah stesyen televisyen kerajaan, ulasan yang dibuat yang sepatutnya bersifat ilmiah dan akademik begiu ‘bias’ dan memualkan seolah-olah ia sudah menjadi alat rasmi sebuah parti politik.

Peliknya, ‘orang itu’ saban tahun menangis di PWTC kerana orang Melayu masih lagi bodoh. Saya ingin menjawab, masakan tidak bodoh, media massa yang dimiliki oleh kerajaan saban hari menayangkan episod yang begitu memualkan dan memperbodohkan rakyat.  Rakyat tidak dibenarkan membuat pemilihan berdasarkan pemikiran yang rasional. Rakyat disogok dengan fitnah, berita yang berat sebelah serta penipuan peringkat yang tertinggi. Bayangkan, apabila seorang penyokong UMNO sejak dari lahir lagi diisytiharkan ‘keluar PAS dan masuk UMNO’ di depan pemimpin nombor satu mereka sendiri dan disiarkan di muka depan sebuah akhbar harian, masih tidak layakkah akhbar tersebut diletakkan setaraf dengan bakul sampah? Kalau pemimpin nombor satu mereka pun boleh diperbodohkan, maka apakah jaminan untuk orang Melayu tidak terus menjadi bodoh…? Kalau akhbar harian sudah sampai ke tahap sanggup menyiarkan berita palsu semata-mata untuk mengabui mata rakyat, bilakah masanya cita-cita untuk melihat orang Melayu berdaya saing dan intelek akan tercapai? Mereka sendiri yang mendakwa bahawa orang Melayu mundur, namun mereka sendiri yang tidak berusaha memajukan daya fikiran orang Melayu, manusia jenis apakah ini?!!

Satu Penilaian….

Namun, apapun yang berlaku, PAS tetap kalah di Pendang dan BN telah kalah di Anak Bukit. Setiap pihak harus menerima kekalahan tersebut. Inilah pengajaran kepada semua  bahawa dalam perjuangan, tidak selamanya kita berada di atas. Walaupun kita berada di pihak yang benar dan kita yakin bahawa redha Allah bersama dengan perjuangan kita, tetapi selagi mana Allah tidak mengizinkan kita menang, selagi itulah kita akan tetap menerima kekalahan. Dan setiap kali kiat menerima kekalahan, setiap kali itulah kita diperintahkan untuk terus berusaha. Bukankah kita berjuang untuk mencapai redha Allah, dan bukan semata-mata untuk menang.

Sejarah peperangan Rasulullah SAW sendiri menerima kekalahan silih berganti dengan kemenangan. Di Badar, umat Islam menang manakala di Uhud, umat Islam menerima kekalahan. Adakah sewaktu Rasulullah SAW dan para sahabat kalah di medan Uhud, mereka berundur? Tidak, malah mereka terus mara dan berusaha untuk menyebarkan Islam. Adakah Allah berkuasa untuk menjadikan pejuang-pejuangNya seluruh dunia mendapat kemenangan dengan mudah? Maha Suci Allah dari lemah untuk berbuat demikian, namun itulah lumrah perjuangan, kerana kemenangan Islam tidak semudah melaungkan takbir di majlis-majlis ceramah. Ia juga tidaklah semurah membeli kaset-kaset ceramah, jauh sekali semudah menekan papan kekunci komputer. Ia harus dibeli dengan harga yang mahal, dan harga itulah yang sedang kita berusaha untuk membayarnya. Kerana itu, sering saya nyatakan, bahawa kita tidak pernah gundah dan kecewa andainya usaha yang kita lakukan tidak mencapai kejayaan yang kita harapkan, kerana persoalan kita di hadapan Allah ; adakah kita sudah berusaha?

Mungkin sekiranya kita dikurniakan kemenangan demi kemenangan, maka kita akan mudah lupa (dan bukankah Melayu jenisnya mudah lupa?) terhadap kekuasaaan Allah. Kita akan merasakan diri kita terlalu hebat dan perkasa sekaligus memutuskan harapan serta pergantungan kita kepada Allah. Seandainya perkara ini berlaku, maka kita akan menempuhi pilihanraya umum nanti dalam keadaan yang begitu menyedihkan… Sebab itu, kekalahan yang diterima sebenarnya merupakan satu pengajaran. Allah mahukan kita lebih bersedia untuk menerima kemenangan. Betapa banyak golongan yang menerima kemenangan dalam keadaan yang tidak bersedia akhirnya rebah akibat leka dengan nikmat kemenangan? Berapa banyak golongan yang diberikan nikmat oleh Allah dalam keadaan mereka tidak bersedia akhirnya bercakaran sesama sendiri dan melupakan ikrar serta sumpah mereka..?

Sebab itu, kepada mereka yang begitu mengharapkan kemenangan di Pendang dan Anak Bukit (khususnya kepada mereka yang bekerja bertungkus lumus), yakinlah, kekalahan bukannya satu penyebab untuk kecewa. Kecewa dan sedih tentunya merupakan perkara yang tidak dapat dinafikan dalam diri kita (hingga ada petugas yang pulang dari Kedah hanya mampu berbaring di atas katil sehari suntuk akibat kecewa),  namun ia adalah satu lumrah dalam perjuangan. Perlu diingatkan, ini bukan kekalahan yang pertama (dan pastinya bukan yang terakhir) dalam hidup kita, maka belajar-belajarlah untuk menerima kekalahan! Yakinlah terhadap firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa’ : 104)

Jika dikaitkan dengan kehidupan kita sebagai penuntut ilmu, kegagalan kita dalam mencapai keputusan cemerlang contohnya adalah satu ‘arahan tersembunyi’ daripada Allah supaya kita terus berusaha. Tawakkal dan doa kepadaNya tentunya merupakan satu rutin harian bagi setiap yang bernama mukmin. Benar, ada orang yang berjaya tanpa berdoa, namun kejayaan seperti itukah yang kita impikan? Percayalah, seseorang itu dinamakan berjaya bukan kerana dia tidak pernah rebah namun kerana dia berjaya bangkit selepas dia rebah…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: