AT-TARGHIB WA AL-TARHIB MIN AL-HADITH AL-SYARIFF Oleh Al-Hafiz Abd al-‘Azim Abd al-Qawiyy al-Munziri

Pengenalan Kitab Al-Targhib Wa At-Tarhib Wa Al-Tarhib Min Al-Hadith Al-Syariff

Kitab al-Targhib wa al-Tarhib yang dikarang oleh al-Hafiz al-Munziri adalah merupakan di antara kitab-kitab yang utama yang mengumpulkan hadis-hadis mengenai kelebihan melakukan amalan dan juga ancaman-ancaman atau disebut di dalam istilah pengajian hadis al-Targhib wa al-Tarhb. Usaha ini memberikan manfaat yang besar kepada umat Islam keseluruhannya. Kitab ini seterusnya ditahkik dan disaring oleh Sheikh Nasiruddin al-Albani yang mengasingkan di antara hadis-hadis bertaraf sahih dan hasan sahaja dan hadis-hadis bertaraf dhaif dan tidak kurang juga hadis maudhu’.

Pengenalan Ringkas Pengarang

Beliau ialah Abd al-‘Azim Abd al-Qawiyy bin Abdullah bin Salamah bin Saad al-Munziri. Juga dikenali dengan gelaran Zakiyuddin Abu Muhammad al-Munziri.[1] Dilahirkan di Gharh, Syam pada tahun 581H. Beliau berguru sejak kecil dengan Abu Abdullah al-Artahi, Abdul Mujib bin Zuhair, Abu Husain al-Maqdisi dan lain-lain. Beliau kemudiannya merantau ke Hijjaz iaitu di Madinah dan kemudiannya ke Damsyik untuk menuntut ilmu. Selain dari itu, beliau pernah merantau ke Iskandariah, Mesir dan Hirran.

Beliau bertugas sebagai pengajar di Masjid al-Zafiri di Kaherah dan menjadi tenaga pengajar di masjid tersebut selama 20 tahun. Beliau mengambil kesempatan untuk menulis dan menyusun kitab-kitab hadis. Antaranya yang masyhur ialah : al-Jam’u Bayna al-Sahihain, al-Muwafaqat dan al-Targhib wa al-Tarhib iaitu kitab yang akan dibincangkan. Beliau wafat di Mesir pada tahun 656H ketika usianya 75 tahun.

Al-Imam al-Zahabi menyatakan, “Tidak ada yang lebih hafiz daripadanya pada zamannya…”

Pengenalan Pentahkik

Beliau ialah al-Allamah Sheikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, merupakan salah seorang ulama’ hadis masa kini yang masyhur. Beliau merupakan seorang pakar di dalam ilmu mustalah hadis dan juga ilmu rijal, malah diakui seolah-olah mengulangi kegemilangan ilmu hadis seperti yang dilakukan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani dan al-Hafiz Ibnu Kathir.

Beliau dilahirkan pada 1333H bersamaan dengan 1914M di Sepanyol namun berhijrah bersama keluarganya ke Damsyik, Syria untuk menetap di sana ketika beliau masih kecil. Beliau memulakan pengajian di seklah rendah biasa tetapi diberhentikan oleh bapanya untuk diasuh sendiri menghafaz al-Quran dan hadis-hadis nabawi. Ternyata keputusan bapanya tidak silap apabila beliau berjaya menghabiskan hafalan al-Quran dalam masa yang singkat dan kemudiannya mendalami ilmu fiqh Hanafi.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pembaiki jam (dan kerjaya ini kekal hingga ke akhir hayat), namun beliau masih berkesempatan merantau menuntut ilmu ke Syria. Beliau juga merupakan seorang yang tegas dan tidak bertolak ansur di dalam masalah penyelewengan akidah dan bid’ah. Pandangan-pandangannya disuarakan melalui ceramah-ceramah dan juga kitab-kitab yang tidak sedikit dikarangnya. Ini menyebabkan beliau seringkali menghadapi tohmahan dan tekanan akibat perjuangannya. Beliau seterusnya berpindah-randah dari Syria, Mesir dan ke Arab Saudi.

Beliau meninggal dunia pada hari Sabtu, 22 Jamadil Akhir 1420H bersamaan 2 Oktober 1999 M.

Cetakan dan Terbitan

Kitab yang ada di tangan penulis berjudul al-Targhib wa al-Tarhib karangan Al-Hafiz Abd al-‘Azim Abd al-Qawiyy al-Munziri yang telah ditahkik oleh Sheikh Muhammad Nasiruddin al-Albani. Ia dicetak pada tahun 2003M sebanyak 2 jilid oleh al-Maktab al-Tahqafi Li al-Nasy wa al-Tauzi’ beralamat di No.9, belakang Masjid al-Azhar, Kaherah, Mesir. Cetakan ini merupakan cetakan yang pertama.

Metod Penulisan Kitab

Penulis memulakan penulisan kitab ini dengan muqaddimah yang didahului dengan basmalah, tahmid dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW dan keluarganya. Di dalam muqaddimahnya, penulis menegaskan faktor-faktor yang mendorong kepada penulisan kitab ini. Antaranya ialah kerana desakan dari murid-muridnya yang berkehendakkan kepada satu kitab yang khusus yang mengumpulkan hadis-hadis di dalam isu targhib dan tarhib. Seterusnya beliau menegaskan bahawa tidak semua hadis-hadis yang dimasukkan di dalam kitab ini bertaraf sahih dan menjadi tanggungjawab pembaca untuk membuat penilaian seterusnya.[2] Mengenai penulisan hadis-hadis, metodologi beliau ialah seperti berikut :

1. Menyebut hadis tanpa sanad bagi memendekkan penulisan. Beliau hanya menyebut rawi a’la sahaja ataupun nama sahabat yang meriwayatkan hadis tersebut bersama tanpa sanad.

2. Menyebut sumber ambilan hadis.

Mengenai penyusunan bab, beliau membuat penyusunan sebagaimana berikut :

1. Memulakan dengan bab ikhlas. Kelihatan beliau mencontohi imam-imam hadis yang lain yang menyusun kitab-kitab mereka dengan mendahulukan bab niat dan ikhlas.

2. Seterusnya diikuti dengan bab ilmu. Kemudian beliau menyenaraikan bab mengikut perbahasan di dalam kitab fiqh seperti bab Taharah, Solat, Nawafil, Jumaat dan Sedekah. Seterusnya diikuti dengan bab Puasa, Hari raya, Haji, Jihad, Membaca al-Quran dan Zikir Dan Doa.

3. Kitab yang terakhir di dalam penulisan al-Munziri ini ialah Kitab Sifat Neraka dan Sifat Syurga. Setiap kitab pula mengandungi fasal-fasal yang berlainan. Sebagai contoh, di dalam Kitab Sifat Neraka dan Sifat Syurga, terdapat fasal-fasal seperti : Fasal Ahli Syurga dan Ahli Neraka Berkekalan di Dalamnya, Fasal Sungai Syurga, Fasal Pakaian Ahli Syurga dan lain-lain.

4. Setiap fasal mengandungi beberapa hadis. Di dalam penulisan al-Munziri ini, jumlah hadis yang terkandung di dalamnya ialah sebanyak 5766 hadis.[3]

Keistimewaan

Kitab ini tentunya merupakan satu kitab yang istimewa khususnya untuk mereka yang mempunyai keinginan yang mendalam untuk mengetahui hadis-hadis tentang isu Targhib dan Tarhib. Hadis-hadis seperti ini sangat penting di dalam memberikan galakan kepada masyarakat untuk melakukan amalan kebaikan. Masyarakat umumnya berminat mengenai hadis-hadis seperti ini sebagai satu motivasi untuk mereka. Kitab ini pada pandangan penulis sangat sesuai untuk dijadikan teks kuliah di masjid-masjid untuk dibacakan kepada masyarakat awam.

Kelemahan

Walaupun isu targhib dan tarhib disentuh dengan begitu baik, namun al-Munziri sebagaimana yang diakuinya sendiri tidak meletakkan hadis-hadis yang sahih sahaja, malah banyak didapati hadis-hadis yang bertaraf dhaif dan maudhu’. Ini merupakan satu perkara yang bahaya sekiranya tidak diperjelaskan taraf hadis tersebut. Kepercayaan terhadap hadis-hadis yang lemah ini sekiranya dijadikan sandaran akan menyebarkan silap faham serta mengakibatkan meluasnya harapan untuk pahala yang dibina di atas asas yang palsu. Lantaran itu, usaha-usaha menyaring dan mentahkik seperti yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani adalah satu perkara yang harus dipuji.


[1] Muhammad bin Ahmad bin Othman al-Zahabi, Tazkirah Huffaz, j.4, hal 437.

[2] Pada pandangan penulis, langkah Syeikh Nasiruddin al-Albani menyaring dan mentahkik kitab ini telah menyelesaikan tuntutan al-Munziri.

[3] Seperti yang dirujuk di dalam perisian Maktabah Syamilah Ver.1

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: